Jump to content
Sign in to follow this  
malaynux

Sembang Pilihan Raya Umum Terus Bergema

Recommended Posts

Sembang pilihan raya umum terus bergema

SUDAH hampir tiga minggu Pilihan Raya Umum Ke-12 berlalu. Namun cakap-cakap mengenainya masih berterusan. Ibarat rumah sudah siap tetapi pahat terus berbunyi.

Bagaikan mulut tempayan, sukar untuk ditutup. Ada saja cerita yang terkeluar. Tidak ada sesiapa dapat melarang seseorang itu daripada terus berkata-kata atau bercerita. Maka macam-macam cerita berlegar sama ada melalui media cetak, elektronik, Internet, SMS dan pelbagai lagi.

Macam-macam alasan dan teori dibuat terhadap kekalahan dan kemenangan seseorang calon parti politik pada pilihan raya umum. Ada yang kata, ramai pengundi yang bersikap marahkan nyamuk kelambu dibakar. Marahkan ketua kampung, satu kampung diamuk dan dibakarnya!

Apa pun mereka yang menang terus meraikan kemenangan masing-masing terutama di peringkat parti. Ada antara mereka yang menang itu tidak menduga sama sekali, ibarat bulan jatuh ke riba. Pucuk dicita ulam yang datang. Yang kalah pula terus berduka.

Ada juga yang kalah baru berkubu. Sebelum masuk gelanggang pilihan raya, hasrat hati ingin memeluk gunung tetapi apakah daya tangan tak sampai. Pilihan raya ini mengajar semua bagaimana dada manusia tidak dapat diselami. Bak kata orang, manis kata hanya di bibir. Dan bagi pemimpin yang merasai kekalahan itu sukar untuk digambarkan perasaan mereka. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Tetapi dalam setiap pertandingan atau permainan, pasti akan berhadapan dengan risiko. Kata orang, main air basah, main api lecur, main pisau luka.

Manusia boleh berusaha tetapi Tuhan yang tentukan. Maka usahlah yang kalah menuding jari mencari silap orang. Jangan kerana kita tidak pandai menari tetapi disalahkan lantai yang terjungkit.

Tidak dinafikan dalam sesetengah kes, kemenangan dan kekalahan adalah akibat orang dalam. Ada musang berbulu ayam, gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut. Atau ada juga pemimpin yang harapkan sokong tetapi membawa rebah. Bak kata pepatah, harapkan pagar, pagar makan padi. Lidah bercabang. Lidah tidak bertulang. Mulut satu, lidah bertopang iaitu lain yang diucapkan lain di hati.

Masa bertanding sudah berakhir. Kini masa untuk bekerja. Jangan ada lagi perasaan dendam. Tidak ada gunanya menarik urat leher dalam isu-isu yang sudah lepas sebaliknya kita harus bijaksana menyelesaikan masalah umpama menarik rambut di dalam tepung, tepung tak berselerak, rambut tidak putus.

Perasaan

Buangkan perasaan dendam sehingga sanggup mencabik baju di dada dan membiarkan orang menangguk di air keruh. Ingatlah bahawa mencabik lebih mudah, tetapi menjahitnya amat susah atau dalam erti kata lain mencari gaduh itu memang mudah tetapi sukar untuk mencari damai.

Justeru jernihkan yang keruh. Buanglah air yang keruh dan ambil air yang jernih.

Dalam seminggu yang lepas juga, banyak kemelut yang berlaku antaranya isu pelantikan Menteri Besar Terengganu. Namun akhirnya perkara itu selesai dan payung mahkota tetap disanjung. Institusi raja perlu dihormati dan rakyat di bawah pula perlu menerima secara terbuka.

Semua ini pasti ada hikmahnya. Dan sebagai rakyat, mereka perlu bersatu kembali. Usahlah kita mabuk memandang beruk berayun, asyik memerhatikan perkara tidak berguna sebaliknya perlu mabuk kerja. Yang kalah pula usah mabuk nasib yakni bersedih mengenang nasib.

Kalau ada rezeki takkan ke mana seperti kata orang, makanan helang takkan dimakan musang.

Apa yang penting sekarang, rakyat merapatkan persaudaraan. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Kita mengharapkan segala perselisihan semasa kempen pilihan raya umum lalu akan beransur pulih. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga atau air dicincang takkan putus.

Kata orang, bulat boleh diguling, pipih boleh dilayangkan iaitu sudah setuju sudah bermuafakat. Janganlah kita menjadi ayam senang dalam reban, musang yang susah beredar keliling iaitu dengki, tidak suka melihat orang lain senang. Sudah bongkok jangan pula menyerangguh iaitu perkara buruk jangan diheboh-hebohkan.

Kepada pemimpin, janganlah menjadi gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah. Kita tidak mahu rakyat yang menanggung bebannya.

Dan dalam keghairahan pihak yang menang meraikan kemenangan, janganlah menjadi seperti Pak Kaduk yang bernasib malang, ayamnya menang, kampung tergadai. Kera di hutan disusui anak di pangkuan pula kelaparan.

HASSAN MOHD NOOR

Sumber : Utusan Malaysia (Mingguan Malaysia) Bahagian Rencana.

www.utusan.com/rencana

------------------

Sesuai untuk adik2 yang akan menduduki SPM atau PMR atau UPSR atau STPM (Kertas BM, Kesusasteraan Melayu dan Pengajian AM)

Sila baca berkali kali agar dapat faham apa yang dimaksudkan dalam istilah2 yang telah 'di bold'.

Note : Yang diwarnakan merah tu peribahasa yang 'direka' oleh penulis..sebab belum pernah ku jumpa istilah seperti itu.

Tambahan :

1. harapkan sokong tetapi membawa rebah (sokong disini bermaksud "Tiang Penyokong") atau Penyendal.

2. Kalah Baru Berkubu, Sama dengan istilah Sudah terhantuk, baru tengadah

Edited by malayNUX

Share this post


Link to post
Share on other sites

Join the conversation

You can post now and register later. If you have an account, sign in now to post with your account.

Guest
Reply to this topic...

×   Pasted as rich text.   Paste as plain text instead

  Only 75 emoji are allowed.

×   Your link has been automatically embedded.   Display as a link instead

×   Your previous content has been restored.   Clear editor

×   You cannot paste images directly. Upload or insert images from URL.

Loading...
Sign in to follow this  

×
×
  • Create New...